mesca-blog

Menjelang tahun baru ini, laman blog ADG bertukar wajah agar tampak lebih segar dan menarik.

Mengimbas kembali tahun 2008, pelbagai rintangan yang telah ADG lalui:

1. Masalah budget, jadi pada mulanya semua serba kekurangan. Cikgu-cikgu pening kepala. Syukurlah kerana pihak Yayasan Sarawak sanggup menderma sejumlah wang untuk Kelab Giat Budaya (ADG) Sekolah. Terima kasih banyak-banyak kepada Yayasan Sarawak.

2. Selepas berlatih berbulan untuk pertandingan, ada penari yang terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir kerana mendapat tawaran belajar di tempat lain. Terpaksa merayu kepada ibu bapa dan pihak tertentu untuk meminta penangguhan selama seminggu. Syukur mereka bersetuju juga akhirnya.

3. Untuk ASAT, wajib untuk pelajar asrama sahaja untuk menyertai pertandingan tarian tersebut. Waduh! Terpaksa mencari baki 6 orang penari asrama. Kelam kabut membuat uji bakat bagi pelajar asrama serta memilih mereka yang ada potensi. Bila dapat saja mereka, terus buat intensif latihan sebulan, pagi petang malam! Syukur mendapat Johan di peringkat kebangsaan. Pengajaran; cari banyak-banyak penari asrama dan harian, dari tingkatan 1-6. Latih semua sepanjang tahun. Bersedia untuk apa-apa persembahan dan pertandingan.

4. Kerana tidak dapat menari mewakili sekolah untuk pertandingan, sesetengah penari merajuk.  Cikgu-cikgu jadi tukang pujuk. Alahai, manjanya…🙄

5. Harapan bebudak untuk menang sangat tinggi (sama ler dengan cikgu-cikgunya sekali). Jadi bila tidak mendapat johan, air mata bercucuran – lelaki dan perempuan. Cikgu-cikgu jadi tukang pujuk lagi. Alahai…🙄

6. Macam-macam karenah para penari. Sesetengah penari tidak ngam sesama mereka.  Ada juga yang ada masalah peribadi yang mengganggu focus mereka semasa menari.  Ada yang cepat tangkap, ada yang lambat nak mampus, jadi  sesama penari kena ajar-mengajar satu sama lain. Ada postur menari ala-ala tiang bendera, ada yg tak pandai senyum dan ceria semasa menari – ala-ala berkabunglah,  jadi kena berus dan sental pakai berus dawai  besi betul-betul. Ada yang banyak kelas tambahan, jadi tidak dapat hadir – konflik dengan guru kelas tambahan. Ada yang aktif dalam aktiviti yang lain seperti sukan, jadi berebutlah dengan guru sukan. Juga ada ibu bapa yang keberatan untuk melepaskan anak mereka untuk latihan dan pertandingan. Jadi cikgu-cikgu ADG berbincang dengan mereka semua untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Perkara biasa dalam mana-mana pasukan tetapi  masalah perlu diselesaikan segera kerana penari-penari perlu  fokus dan  mempunyai semangat berpasukan yang tinggi semasa menari. Cikgu-cikgu terpaksa jadi orang tengah atau kaunselor yang maha bijak, maha memahami dan maha sabar. Syukur semuanya ok.

7. Keletihan dan stres yang amat sangat menjelang pertandingan. Latihan sehingga lewat malam dan kadang kala berlarutan sehingga jam 2-3 pagi pada hujung minggu. Hilang focus. Jadi, kita BBQ dan masak memasak! Kita piknik di air terjun Gunung Gading, berseronok dan gila-gila. Lupakan seketika segala benda lain dahulu. Ahh…:mrgreen:

7. Laman blog menjadi tempat melepaskan geram oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pertandingan Tarian Sekolah-sekolah Menengah & Rendah Kebangsaan di dalam bahagian komen. Banyaklah sumpah seranah mereka kepada pihak-pihak tertentu. Terpaksa ditapis atau dipadam komen-komen mereka kerana pihak ADG tidak mahu sebarang kontroversi. Maaflah yer… 😯

8. Laman blog diserang oleh orang-orang yang tidak berpuas hati dengan pihak ADG yang memberi sokongan kepada Kumpulan dari Bintulu/Miri dan bukan kepada Kumpulan dari Kuching/Samarahan semasa Festival Tari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak. Padahal ADG memang geng Kumpulan dari Bintulu sejak dari dulu lagi dah kerana pernah membuat persembahan bersama-sama dengan mereka selama beberapa hari. Jadi kawan sokong kawan. Alah, mereka tu jeles dan dengki dengan ADG lah tu … 😛

Saat-saat terindah:

1. Mendapat dana dari Yayasan Sarawak. Jadi banyak aktiviti-aktiviti dan pertandingan-pertandingan yang dapat kami sertai tanpa bergantung kepada dana sekolah sepenuhnya. Terima kasih sekali lagi. KPKKW Sarawak juga telah bermurah hati menderma radio dan kostum kepada Kelab Giat Budaya sekolah. Terima kasih banyak-banyak.

2. Johan Pertandingan Tarian ASAT Peringkat Kebangsaan di Ipoh Perak. Ingatkan Sabah yang menang, tup tup nama Sabah diumumkan naib johan, terus konfiden menang.   Sila klik di sini untuk berita lanjut.

3. Johan Festival Kanak-kanak dan Remaja Peringkat Negeri Sarawak di Kampung Budaya Sarawak. Pada mulanya memang menghantar pasukan ADG untuk kalah dan  suka-suka sahaja. Sengaja menghantar tarian Melayu yang kontroversi dan lain dari yang lain, tetapi tidak membosankan. Bila ADG diumumkan johan, mengambil beberapa milisaat untuk faham dan memproses maklumat tersebut sebelum menjerit kegembiraan. Sila lihat video tarian tersebut di Galeri Video kami.

4. Dijemput untuk persembahan MESCA (Manifestation of Sarawak Cultural Arts) 2008 di Dewan Suarah, bersama-sama dengan kumpulan-kumpulan kesenian tersohor yang lain. Kumpulan ADG dicadangkan oleh orang-orang tertentu kerana ramai yang kagum dengan ADG semasa ADG bertanding & membuat persembahan. Pihak ADG di uji bakat oleh En Sharkawi dahulu  sebelum itu, dengan datang ke Lundu untuk melihat sendiri ADG membuat persembahan di hadapan beliau. ADG lulus dengan cemerlang! Sila klik di sini untuk berita lanjut.

5. Daripada semua sekolah menengah di Sarawak,  SMK Lundu dipilih untuk menghantar pasukan untuk Perhimpunan Kanak-kanak dan Remaja Merdeka di Johor Bahru. ADG merasa amat berbangga kerana terpilih. ADG telah membuat persediaan dan persembahan yang terbaik untuk membuktikan bahawa pihak KPKKW Sarawak telah membuat pilihan yang tepat. Dengar khabarnya, pihak KPKKW Sarawak amat berpuas hati dengan ADG semasa di Johor. Terima kasih bebanyak KPKKW! Jangan lupakan kami untuk aktiviti-aktiviti pada masa hadapan. :)  Sila klik di sini untuk berita lanjut.

6. Lahirnya Laman Blog Anak Dalam Gading (ADG) pada hari Khamis, 14 Ogos 2008, dengan domain sendiri iaitu anakdalamgading.com.

Perancangan Tahun 2009

1. Mencari dana dari pihak-pihak tertentu untuk aktiviti-aktiviti tahun ini. Juga merancang untuk menganjurkan Hari Kebudayaan Sekolah dengan beberapa aktiviti-aktiviti  tertentu yang bertujuan untuk mempromosi kelab dan mengutip derma bagi tabung ADG.

2. Latihan sepanjang tahun. Lenturkan badan dan postur penari-penari. Mengajar semua jenis tarian untuk menambah pengetahuan mereka dan juga agar senang untuk koreograf tarian untuk persembahan dan pertandingan kelak.

3. Menambah bilangan penari. Mempromosi Kelab Giat Budaya ADG kepada semua pelajar-pelajar dan mengalakkan mereka menyertai uji bakat yang bakal diadakan. Jikalau boleh, ambil ramai-ramai yang dari menengah rendah supaya boleh digunakan lama untuk mengantikan penari-penari senior pada suatu hari nanti. Mereka yang berpotensi (berbakat, rajin, berdisiplin dan komited) akan dipilih membuat persembahan dahulu sebelum dihantar untuk pertandingan untuk membiasakan mereka membuat persembahan di khalayak ramai.

4. Menyertai pertandingan-pertandingan tarian dan buat yang terbaik mungkin. Jika nasib menyebelahi, mungkin boleh mewakili Sarawak dan johan peringkat kebangsaan sekali lagi. Harap-harap…

Sekian. Pihak ADG amat berterima kasih kepada semua pembaca sekalian atas sokongan anda! Doakan kejayaan kami!