adg-menang-kchSMK Lundu telah muncul sebagai Johan dan akan mewakili Bahagian Kuching untuk peringkat Negeri Sarawak. Pertandingan telah diadakan di SMK Siburan pada 15 April 2009. Sepuluh buah sekolah sepatutnya menyertai tetapi pada saat-saat akhir sebuah sekolah telah menarik diri.

Selain itu bagi acara-acara lain, SMK Lundu mendapat tempat kedua bagi acara Bola Jaring dan tempat ketiga bagi Nyanyian Solo lelaki.

Kontijen SMK Lundu bertolak dari SMK Lundu pada pukul 2.30pm bersama-sama dengan kontijen Bola Jaring dan Bola Sepak di dalam satu bas. Destinasi pertama ialah berhenti di SMK Penrissen untuk menghantar kontijen sukan. Pada kira-kira pukul  5.20pm, tibalah kami di SMK Siburan. Ada guru warden dan beberapa pelajar yang mengiringi kami ke asrama. Selepas menghantar barang-barang di bilik yang telah dikhaskan untuk kami, cepat-cepat pergi ke dapur untuk mengambil giliran makan. Dewan makan tidak dapat digunakan kerana telah diperuntukkan untuk pertandingan keesokkan harinya. Mula-mula tercegat sahaja di luar dapur sebab tak tahu prosedur asrama sehinggalah diberitahu untuk masuk sahaja mengambil makanan. Guru-guru pula ada makanan yang siap dihidangkan di kantin sekolah. Selepas mengambil makanan, kami makan beramai-ramai di kantin sekolah, sambil memerhati keadaan sekeliling sekolah yang mengagumkan kami kerana persekitaran yang bersih dan cantik. Pelajar-pelajarnya pula berdisiplin.

Selepas sahaja makan, terus terjenguk-jenguk dewan, tertanya-tanya, ‘Boleh masuk ker ni?’ Tiada orang di dewan jadi, masuk sahaja terus buat blocking sendiri. Sekejap sahaja, tanpa muzik pun, lebih kurang 10-15 minit sahaja. Selepas itu datanglah Ketua Warden sekolah menyambut kedatangan kami dan memberitahu yang kalau kami mahu, kami boleh membuat full rehearsal pada malam itu selepas 9.30pm (selepas makan malam), dengan sound checking sekali. Kami amat berterima kasih kepada beliau. Jadi dengan tidak sabarnya kami menunggu saat-saat itu…. termasuk beberapa penari sekolah SMK Siburan sekali yang ingin melihat penari dan tarian dari sekolah lain. Malam tersebut adalah 2-3 kali rehearsal sambil diperhatikan oleh krew-krew audio dan pelajar-pelajar lainnya. Semasa sesi rehearsal tersebut, beberapa penari ADG mengadu sakit kepala, sakit dada, sakit tah apa-apa lagilah. Ada yang muka pucat, muka macam nak menangis, muka blur dan muka selamba. Biasalah, semua cemas dengan apa yang bakal mereka hadapi esok. Setelah berpuas hati, balik asrama, mandi dan tidur (tidak nyenyak pun sebab berdebar-debar).

Pada hari pertandingan, pihak perempuan bangun 3.00am. Pihak lelaki pula 3.30am. Yang perempuan selepas mandi, sibuk bersanggul. Yang lelaki cemas kerana salah seorang penari demam panas! Seluruh badan memang panas sesangat walaupun dia nampak kesejukan. Macamana ni? Dipendekkan cerita, selepas dilap badan dengan air suam, dia rasa lega sedikit dan terus mengambil kostum lelaki untuk bersiap sedangkan kami tengah sibuk melatih seorang penari simpanan untuk mengambil tempatnya. Okeylah, bagilah peluang kepadanya. Tetapi kalau emergency sesangat, boleh tukar nanti.

Selepas bersarapan 5.30am, bilik persalinan belum buka pula. Jadi bersiap-siaplah kami di kantin sekolah. Mana-mana pun boleh asalkan cukup pencahayaan untuk bersolek.

Yang deman tadi tiba-tiba termuntah-muntah pula semasa bersolek di kantin. Makin panas badan. Dihantar ke wad ‘SICK BAY’ sekolah dan rehat di sana selama beberapa jam sementara menunggu giliran. Penari simpanan pula ‘ON-CALL‘ siap untuk menganti pada bila-bila masa. Setengah jam sebelum giliran ADG, dia dilepaskan oleh matron sekolah kerana sudah sihat sedikit dan dia bertekad untuk menari juga. Dan menarilah si demam ini tadi tanpa menunjukkan tanda-tanda demam dan sebagainya. Tarian pertandingan ADG dipersembahkan dan para guru sangat berpuas hati dengan semangat dan persembahan mereka.

Semasa ulasan hakim, banyak teguran-teguran yang berguna yang ditujukan kepada semua kumpulan. Tetapi bagi kumpulan kami, beliau menegur songkok kami yang terlalu besar untuk beberapa orang penari lelaki (al-maklum, barang recycle dan saiz bebudak tahun ni kecil dari tahun lepas). Teguran itu kami terima dan bertekad mesti mencari sumber untuk membeli songkok baru yang sesuai dengan mereka.

Dan tibalah masa untuk keputusan, tangan bebudak dah sejuk dah. Bila sahaja SMK Siburan diumumkan sebagai naib johan (SMK Tun Abdul Razak tempat Ketiga),  semua penari ADG bersorak gembira! Guru-guru muka selamba tetapi senyum – kontrol rasa gembira di dalam hati kerana usaha berbulan-bulan membuahkan hasil.

Bagi sekolah-sekolah yang memenangi Pertandingan Tarian ASAT di Bahagian-bahagian lain di Sarawak dan sedang membaca blog ini, jumpa anda di SMK Siburan pada penghujung bulan Mei atau awal Jun ini! (Informasi terkini yang kami dapat: Wakil Bintulu – SMK Sebauh, Wakil Miri – SMK Subis, Wakil Samarahan – SMK Simunjan, Wakil Sarikei – SMK Bandar Bintangor.  Sesiapa ada maklumat yang lain, sila kongsikan bersama ya)

Kepada warga SMK Siburan, kami amat berterima kasih atas layanan yang mesra dan amat baik terutamanya kepada para warden & Ketua Warden, Encik Peter Suli dan pengetua sekolah tersebut, Encik Tilai Balla Udan.

Sekarang ini pula sedang sibuk membuat persiapan dan latihan untuk Pertandingan Tarian Sekolah-sekolah Menengah pada 11-12 Mei ini pula.

[rockyou id=136180926&w=446&h=340]

Advertisements