Sepanjang lima hari pertama persekolahan, ADG belum membuat apa-apa latihan. Tengahari pada hari Jumaat, pihak pejabat sekolah tiba-tiba menerima panggilan dari Pejabat Daerah Lundu yang  ingin berbincang dengan guru penasihat ADG berkenaan hasrat mereka untuk mendapatkan khidmat ADG untuk mempersembahkan satu tarian di  Majlis Pemimpin Bersama Rakyat oleh Y.B. Datuk Seri Panglima Hj Lajim Bin Hj Ukin – Timbahan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,  YB Datuk Amar  Hj Adenan Bin Hj Satem – Ahli Dewan Undangan Negeri N.13 Tanjung  Datu dan YB Encik Ranum Ak Mida – Ahli Dewan Undangan Negeri N.1 OPAR.  Persembahan ini akan diadakan pada 16 Januari 2010, 7.30 malam, di Perkarangan Pasar Tamu Lundu.

Masalah-masalah dan Penyelesaiannya:

1. Masalah: Semua guru penasihat ADG sesi pagi tiada di mana-mana pada masa tersebut (semua sedang bersedia atau dalam perjalanan ke Kuching untuk hujung minggu).  Keadaan kelam kabut kerana Pejabat Daerah Lundu ingin memaklumkan dengan segera kepada siapa-siapa yang berkenaan supaya membuat persediaan awal kerana hanya ada masa seminggu sahaja untuk membuat persediaaan. Penyelesaian: Terpaksa jugalah seorang bekas guru ADG sesi petang mengambil alih sekejap. Jadi  semua guru penasihat terpaksalah membatalkan hasrat untuk berhibur pada hujung minggu dan balik ke sekolah semula untuk memulakan latihan tarian dengan segera.

2. Masalah: Latihan perlu dibuat segera pada hujung minggu itu tetapi hampir separuh penari-penari ADG, iaitu yang dari asrama,  tiada di sekolah kerana balik hujung minggu ke kampung masing-masing (jadi tidak dapat dihubungi atau/dan tiada pengangkutan balik semula ke sekolah). Penyelesaian: Terpaksa bergantung kebanyakkannya dengan penari-penari harian. Masih tidak cukup. Terdesak, panggil pelajar yang sudah tamat belajar tahun lepas (bekas tingkatan 5). Masih juga tidak cukup. Tunggu sahajalah yang asrama balik semula ke sekolah.

3. Masalah: Pejabat Daerah meminta kami membuat tarian yang bertemakan Alam Sekitar. Waduh… ADG biasanya menarikan tarian tradisional. Seminggu sahaja masa diberi sebelum persembahan? Penyelesaian: Jadi keputusannya, kitar semula (recycle) 50% tarian lama ADG (Fana – video tarian tersebut ada dalam Galeri Video), tambah dan tukar sedikit-sedikit, siaplah satu tarian pada hujung minggu itu tadi.

4. Masalah: Latihan waktu petang pada minggu biasa pula menjadi masalah. Tiga orang penari ADG adalah atlet sekolah yang ada latihan sukan setiap petang, sebagai persediaan untuk  Kejohanan MSSM Kuching nanti (SMK Lundu adalah Johan Bahagian Kuching 3 tahun berturut-turut). Dua orang pula adalah pelajar tingkatan enam yang ada kelas sehiggga ke petang. Dua lagi adalah pelajar cemerlang sekolah yang ada kelas tambahan hampir setiap petang. Jadi, bayangkan kehadiran penari-penari ADG setiap petang. Penyelesaian: Tiada! Mereka hanya diminta datang segera untuk latihan tarian selepas selesai sahaja kelas tambahan / kelas tingkatan 6 / latihan sukan mereka.

Sekian.

Advertisements