SMK Lundu telah dijadikan pusat latihan bagi murid-murid SK Bumiputera bagi melaksanakan Program Bimbingan Seni Budaya Negara (PBSB) yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia. Jadi pada hari Sabtu lepas, Kelab Tunas Budaya (KTB) dari sekolah tersebut telah mengadakan latihan pertama mereka bertempat di Dewan Sri Gading bersama-sama dengan ahli Kelab Giat Budaya (KGB)SMK Lundu, di bawah jurulatih yang sama.

Dari pemerhatian kami, murid-murid sekolah rendah yang menyertai program ini memang amat berminat dengan seni tari dan begitu berbakat, melampaui jangkaan kami. Buat masa ini, mereka juga sedang giat berlatih untuk pertandingan sekolah rendah yang akan diadakan pada bulan hadapan. Mungkin penari-penari ADG boleh berkongsi ilmu dengan mereka kelak. Lagipun, mereka bakal menjadi warga SMK Lundu kelak. Melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Setelah masuk ke sekolah menengah nanti, tidaklah susah payah lagi untuk mencari penari-penari generasi baru.

Latihan untuk pertandingan diadakan setiap hari pada waktu petang. Masih banyak yang perlu diperbetukan dan diperhaluskan. Aktiviti jahit-menjahit juga masih diteruskan. Pasukan  penari pertandingan ADG, krew, serta guru-guru pembimbing akan bertolak ke Kuching pada hari Ahad dan berada di sana selama empat hari dan kembali semula ke sekolah pada hari Khamis.