14859873_1188755894495701_4489626478110222719_o.jpg

Pada 1 November 2016 lepas, pihak JKKN Sarawak telah datang ke SMK Lundu untuk merakam tarian olahan ADG untuk menyertai pertandingan Festival Tari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2016. Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak JKKN Sarawak kerana telah sudi datang ke Lundu untuk rakaman tersebut.

Tarian yang disertai oleh ADG adalah Kategori Tarian Tradisional (Tradisi atau Etnik) dan Kategori Tarian Rampaian Tradisional (Zapin, Inang, Joget atau/dan Asli).

1. KATEGORI TARIAN TRADISIONAL

Nama Tarian : WEK JONGAN
Sinopsis :
‘Wek Jongan’ merupakan tarian kaum Bidayuh Suku Selako-Lara yang mendiami daerah Sematan-Lundu dan juga di Kalimantan Barat Indonesia. Ia mengisahkan Jongan yang berduka lara ke atas kematian bondanya. Disebabkan terlalu hiba, Jongan meratapi permergian bondanya di perkuburan sehingga terlena. Dalam pada itu, beliau bermimpi berjumpa dengan bondanya lalu menghibur beliau dengan sebuah tarian. Bila terjaga dari mimpi, Jongan sangat bersukacita lalu pulang dan mengajar penduduk desanya bagaimana untuk menyanyi dan menari. Dari hari itulah tarian tersebut dipanggil ‘Wek Jongan’.

2. KATEGORI TARIAN RAMPAIAN TRADISIONAL

Nama Tarian : TEDUHAN KASIH
Sinopsis :
Bila cinta dizahir ke hati, maka terbibitlah benih-benih cinta merpati dua sejoli. Tatkala uda menabur hasrat, si dara pula menyimpul kemas nian di hati. Kemarau kasih menjadi dingin bila payung cinta menaungi kecintaan. Hajat terpendam selama ini, terungkap indah dalam Teduhan Kasih si uda dan dara. Biar segunung hasrat berkasih, adab dan budaya tetap dijunjung menjadi batas pergaulan.

2016-11-01 12.10.31_resize.jpg